LAILA HA ILLALLAH MUHAMMADAR RASULULLAH

Wednesday, May 7, 2008

Garis panduan Jom Heboh: PKPIM sokong Mufti Perlis

KUALA LUMPUR, 3 Mei, (Hrkh) - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri mengenai garis panduan konsert Jom Heboh yang sedang diadakan di Perlis.

"Kenyataan Mufti Perlis dalam hal tersebut adalah satu 'amaran' keras yang sekian lama ditegur. Bagaimanapun, kami setuju bahawa ia bukan 'haram' sepenuhnya kerana wujud acara kekeluargaan dan pameran pendidikan yang sebenarnya adalah program positif," kata Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli dalam suatu kenyataan medianya kepada Harakah Daily.

Namun, tambahnya, janganlah pula dalam mengisi program positif itu, penganjur mengambil kesempatan mengadakan konsert yang tidak membina langsung nilai positif.

Hal ini, menurutnya menyebabkan para pengunjung seolah-olah telah tertipu dengan agenda 'muslihat' penganjur.

"Dalam mengisi nilai positif dalam masyarakat, sudah tentu bentuk hiburan yang ingin dibawa itu membawa akar budaya dan adab masyarakat. Artis atau selebriti yang jelas 'tersasar' identiti budayanya harus dilarang membuat persembahan.

"Ini bukan bermakna negara kita ketandusan artis yang berbudaya tinggi dan beradab, seperti yang ditunjukkan oleh kumpulan Kopratasa, M. Nasir, Usratika dan sebagainya," tambah Mohd Hilmi.

Dalam urusan memelihara adab kesopanan konsert, beliau menyifatkan hal ini termasuk dalam tanggungjawab sosial korporat yang harus dimainkan oleh penganjur.

"Tanggungjawab ini bukan sahaja memberi sedekah atau derma kepada golongan miskin atau anak yatim.

"Mendidik dan membina adab masyarakat dengan nilai yang baik juga adalah salah satu bentuk tanggungjawab sosial korporat yang lebih mulia," jelas beliau.

Tambah Mohd Hilmi, para penganjur harus mengambil kira sentimen persembahan yang berteraskan kebudayaan dan adab negara ini.

"Jika tidak, penganjur bakal berdepan dengan identiti atau ejen yang 'merosakkan' bangsa," katanya.

No comments: